27.9.09

Atas Dasar Semangat Bola Sepak Malaysia Yang Aku Pernah Rasai Dahulu



Aku terbaca mengenai entri ini beberapa hari lepas. Baru hari ini aku mempunyai kesempatan untuk membantu menghebahkan mengenai berita ini. Entri di bawah aku copy paste daripada sokernet, hasil nukilan Lucius Maximus. Atas dasar semangat bola sepak era 90-an yang aku rindui, aku rasa perlu untuk kita semua ketahui apa yang terjadi kepada salah seorang bekas penjaga gol kebangsaan terhebat Malaysia; Khairul Azman Mohamed.


Tahun 1992, Stadium Darul Makmur di Kuantan akan dipenuhi sekitar 20,000 penyokong setia Pahang yang mahu menyaksikan skuad Tok Gajah mereka beraksi dalam Liga Malaysia. Di hujung padang, di tengah pintu gol Pahang berdiri seorang lelaki tinggi lampai dengan rambut panjang bertocang. Suaranya lantang memberi arahan kepada barisan pertahanan Pahang, sambil tangan bersarungnya sekali-sekala memberi tunjuk arah.

Lama sebelum Real Madrid muncul dengan idea Galacticos mereka, Pahang terlebih dulu memulakan projek sedemikian. Atas titah baginda Sultan Pahang yang mahukan Piala Malaysia dibawa pulang ke Kuantan, Pahang membina skuad yang dibarisi Mubin Mokhtar, Zainal Abidin, Dollah Salleh, Fandi Ahmad, Borhan Abu Samah dan Alan Davidson. Tetapi ada satu posisi yang pemainnya tidak perlu diganti. Posisi penjaga gol Pahang kekal milik Khairul Azman Mohamed, lelaki tinggi lampai bertocang yang kali pertama menyarung jersi Pahang di tahun 1985 ketika baru berumur 17 tahun.

Siapa yang tidak kenal Khairul Azman? Dia bukan sekadar penjaga gol Pahang tetapi juga penjaga gol Malaysia. Dan ketika zaman kemuncaknya Khairul Azman pernah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Asia.

Kehadiran beliau di pintu gawang menggusarkan banyak pemain serangan lawan. Khairul Azman adalah benteng terakhir skuad Pahang dan beliau bukan penjaga gol yang mudah dibolosi. Reputasi beliau meletakkan Khairul Azman sebaris dengan V Arumugam dan Rashid Hassan.

Ketika Khairul Azman bermain atas padang bolasepak, Iker Casillas masih lagi bermain di atas padang permainan kanak-kanak.

Tahun 1993, Khairul Azman membantu Malaysia menjuarai Piala Merdeka selepas menewaskan Korea Selatan 3-1.

Keutuhan beliau menjaga gawang Pahang membawa skuad Tok Gajah itu bergelar juara berganda Piala Malaysia dan Liga Malaysia pada tahun 1992. Khairul Azman turut membantu Pahang bergelar naib juara Piala Malaysia tahun 1994.

Tahun 1995 menyaksikan lelaki tinggi lampai bertocang ini menyeberangi Laut China Selatan dan berhijrah ke Sabah. Khairul Azman membantu skuad Badak memenangi trofi pertama mereka, Piala FA pada tahun 1995. Tahun berikutnya, Khairul Azman memainkan peranan membantu Sabah menjuarai Liga Malaysia, kejuaraan kedua negeri di bawah bayu sehingga kini.

Tahun 1996 juga menyaksikan Sabah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama. Namun skuad Badak tewas di tangan Gergasi Merah, Selangor.

Kebolehan Khairul Azman tidak terhad di kancah domestik. Beraksi untuk Malaysia dalam Piala Tiger 1996, beliau membantu Malaysia bergelar naib johan setelah tewas kepada Thailand 1-0.

Pencarian Piala Malaysia Khairul Azman bersama Sabah bagaimana pun tidak kesampaian. Layak ke akhir dua kali pada tahun 2002 dan 2003, tetapi sekali lagi tewas kepada Petaling Jaya dan Selangor. Khairul Azman akhirnya mengambil keputusan untuk menggantung but bolanya pada tahun 2005 selepas gagal pulih dari kecederaan.


Di mana abang Khairul Azman sekarang?

Beliau kini menetap di Penampang, Sabah bersama isteri Caren John Bion dan anak. Beliau kini tidak bekerja dan hidup bergantung pada bayaran bulanan Perkeso berjumlah RM540 sebulan.

Kenapa aku menulis tentang abang Khairul Azman?

Kami berbual di telefon petang tadi. Dan dari perbualan itulah aku mahu bercerita tentang kisah beliau di sini.

Abang Khairul Azman yang pernah kita kagumi kini tidak lagi bekerja kerana kecederaan yang beliau hadapi kesan dari sukan bolasepak kesayangannya. Kecederaan beliau mengakibatkan kedua-dua lututnya sakit dan tidak berfungsi dengan baik. Lutut kanan kehilangan ligamen, tendon dan miniskus. Lutut kiri pula ketiadaan ligamen dan tendon.

Dua kali setiap minggu beliau berulang ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan mengurangkan kesakitan.

Biaya pembedahan bagi menggantikan ligamen dan tendon beliau boleh mencecah sekitar RM16,000.

Tanpa pekerjaan dan pendapatan tetap serta keluarga untuk disara, sukar buat beliau mengumpul dana bagi pembedahan tersebut.

Malam ini, Buletin Utama TV3 melalui slot Buletin Sukan bakal menyiarkan kisah Khairul Azman.

Sokernet juga turut menyeru semua pembaca dan pencinta bolasepak di luar sana untuk membantu abang Khairul Azman mengikut kemampuan masing-masing.

Derma untuk beliau boleh disalurkan ke akaun Public Bank milik Khairul Azman Mohamed bernombor 4-8352847-02.

Atas segala bantuan yang disalurkan, Sokernet bagi pihak abang Khairul Azman mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga Tuhan membalas jasa baik tuan puan adanya.

2 comments:

mizz nina said...

moral of the story:

jgn men bola byk sgt smpai jth2..luka2..injured sume..
mmg best men..but hv to tke cre of urself gak..

Odette said...

it all about love.. sama la org yg putus cinta. dugaan mmg ada tp msh juga terus mahu bercinta.